Pertanyaan mengenai isu - Kesan Serangan Virus Umpama SARS

Apakah langkah-langkah yang telah, sedang dan akan diambil oleh pihak Kementerian terhadap isu ini, dan bagaimana pihak Kementerian menangani isu ini secara subtle

  • Memandangkan ramai juga pelancong-pelancong asing yang datang berkunjung ke Negara ini adalah dari Negara Timur Tengah
  • Kebelakangan ini ramai Jemaah haji Negara (28,000 orang) sedang dan akan mengerjakan ibadah haji di Mekah dan Madinah

Memo Daripada: Ketua Komunikasi Korporat bertarikh 24 September 2012

Jawapan:

Sehingga 26 September 2012 WHO telah mengesahkan terdapat dua (2) kes yang disahkan sebagai positif novel coronavirus. Walau bagaimanapun sehingga kini, tiada sebarang kejadian yang sama dikesan dalam kalangan kontak bagi kedua-dua kes tersebut.

Untuk makluman coronavirus merupakan virus yang biasa menyebabkan jangkitan common cold di kalangan manusia. Cara jangkitan ialah seperti jangkitan virus influenza iaitu melalui titisan (droplet) sama ada melalui batuk atau bersin dan disebarkan melalui udara. Dalam kebanyakan kes, jangkitan coronavirus adalah ringan. Namun, dalam keadaan tertentu seperti di kalangan warga tua dan pesakit-pesakit yang menghidapi penyakit kronik serta kurang daya tahan (immunocompromised), komplikasi boleh berlaku umpamanya pada sistem pernafasan dan buah pinggang.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan orang ramai terutamanya kepada para jemaah haji supaya sentiasa menjaga kesihatan, mengamalkan adab batuk (cough etiquette) dan mengamalkan kebersihan diri sepanjang masa. Di samping itu orang ramai terutama kepada sesiapa yang datang dari negara-negara yang disyaki berlakunya penularan jangkitan novel coronavirus disenaraikan oleh WHO dan mengalami gejala respiratori seperti batuk atau susah bernafas atau sakit tekak serta tidak sembuh selepas 3 hari, perlu mendapatkan rawatan doktor dari mana-mana klinik atau hospital yang berdekatan.

Bagi pemantauan keadaan jemaah haji Malaysia yang mendapat rawatan di fasiliti Tabung Haji di Tanah Suci, pihak pasukan perubatan Malaysia di Tanah Suci akan menghantar laporan kes-kes yang dirawat secara tetap kepada KKM.

Pasukan pemeriksaan kesihatan pula akan ditempatkan di setiap lapangan terbang yang mengendalikan kepulangan jemaah haji ini bagi menjalankan saringan demam dan pemeriksaan awal serta rujukan kes ke hospital sekiranya memerlukan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Pada masa ini, WHO tidak mengeluarkan sebarang nasihat berhubung sekatan perjalanan antarabangsa. Walau bagaimanapun, KKM sedang dan akan terus memantau perkembangan situasi ini serta mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya, selaras dengan sebarang maklumat terkini yang dimaklumkan oleh pihak WHO dari semasa ke semasa.

NASIHAT KEPADA JEMAAH HAJI DI TANAH SUCI

  1. Pastikan anda menjaga kebersihan diri sepanjang masa.
  2. Kerap membasuh tangan dengan air bersih mengikut cara yang betul, iaitu mengikut 7 langkah membasuh tangan atau menggunakan bahan pembersih (hand sanitizer).
  3. Perlu menutup mulut dan hidung menggunakan pelindung hidung dan mulut (surgical mask) sekiranya batuk atau bersin.
  4. Elakkan berada di kawasan berdebu atau sesak dengan orang ramai. Jarakkan diri daripada orang yang mengalami demam, batuk atau bersin.
  5. Sekiranya perlu berada di kawasan berdebu dan kawasan sesak sila gunakan pelindung hidung dan mulut (surgical mask) untuk mengelakkan daripada jangkitan.
  6. Jemaah haji adalah dinasihatkan untuk minum air secukupnya untuk mengelakkan berlaku dehidrasi.
  7. Segera dapatkan rawatan di klinik / hospital berhampiran sekiranya mengalami gejala atau tanda-tanda seperti berikut:
    1. Demam
    2. Batuk
    3. Sakit tekak
    4. Sesak nafas

      (Bagi jemaah haji yang tidak sihat sila mengikut nasihat doktor)
  8. Apabila jemaah haji telah pulang ke tanahair dan mengalami gejala seperti berikut: demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas dalam tempoh yang berpanjangan, sila segera dapatkan rawatan di klinik / hospital berhampiran.

Versi PDF

Cetak Emel

Bahagian Pendidikan Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia, Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62590 Putrajaya, Malaysia.


Tel : +603 88834500 Faks : +603-88886262 Emel : infosihat@moh.gov.my

media facebook media instagram media twitter rss media youtube rss