Berita Terkini

BENGKEL GARIS PANDUAN KONVENSYEN MyCHAMPION
24 - 27 Mac 2024

Bengkel ini telah berjaya dilaksanakan di Hotel Ibis Kota Bharu, Kelantan. Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada rakan strategi ANMS telah memberi sumbangan idea dalam penyediaan garis panduan tersebut.

Diharapkan garis panduan ini dapat digunakan oleh penyelaras MYCHAMPION peringkat negeri dan daerah semasa pemilihan pasukan atau ahli MYCHAMPION terbaik dalam melaksanakan aktiviti pemerkasaan komuniti ke arah pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran.


Pelancaran Buku Digital ‘Jom Amalkan Tip Kekal Sihat dan Cergas Pada Bulan Ramadan’
20 Mac 2024

 

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Pendidikan Kesihatan telah menerbitkan buku digital Jom Amalkan Tip Kekal Sihat dan Cergas Pada Bulan Ramadan. Buku ini memberi panduan kepada rakyat Malaysia terutamanya kaum Muslimin untuk terus mengamalkan pembudayaan hidup sihat walaupun sedang menjalani ibadah puasa. Pelancarannya telah disempurnakan oleh YB Menteri Kesihatan dalam Perhimpunan Bulanan KKM.

Bahagian Pendidikan Kesihatan juga mendapat kerjasama Rakan Strategik ANMS untuk melakukan sebaran kepada orang awam di pelbagai platform media dan aktiviti jangkau luar. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat!

Semoga orang ramai mendapat manfaat dan menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna ke arah Malaysia Sihat Sejahtera.


MAJLIS PERASMIAN WELLNESS HUB TERENGGANU
9 MAC 2024

 

YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Wellness Hub Terengganu di Kuala Nerus, Terengganu.

Wellness Hub ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan menjadikan Rakyat Malaysia Sihat Sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran melalui pendekatan 'whole of nation'.

Sehingga kini, sejumlah 33 Wellness Hub telah diwujudkan di seluruh negara dalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti setempat.


MESYUARAT JAWATANKUASA KABINET AGENDA NASIONAL MALAYSIA SIHAT (ANMS)
4 MAC 2024

 

Parlimen - Mesyuarat ini merupakan mesyuarat kali kedua yang dipengerusikan oleh YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 4, Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Mesyuarat disertai oleh kesemua kementerian yang turut dihadiri oleh YB Menteri, YB Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Bahagian dan Pegawai-pegawai dari semua kementerian.


MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU AGENDA NASIONAL MALAYSIA SIHAT (ANMS) 2024
20 FEBRUARI 2024

 

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan merupakan kali pertama diadakan pada tahun ini bertempat di Bilik Gerakan KKM, Aras 4, Blok E7, Kompleks E, Putrajaya.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Bahagian dan Pegawai-pegawai dari semua kementerian.


BENGKEL PENGHASILAN BAHAN PROMOSI PEMBUDAYAAN HIDUP SIHAT AGENDA NASIONAL MALAYSIA SIHAT (ANMS)
29 - 31 JANUARI 2024

anms 30 okt

anms 30 okt

Bengkel Penghasilan Bahan Promosi Pembudayaan Hidup Sihat Bagi Kempen Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) telah berjaya dilaksanakan pada 29-31 Januari 2024 bertempat di Hotel Villea Port Dickson, Negeri Sembilan. Bengkel ini telah dihadiri oleh 30 orang peserta dari pelbagai Bahagian di bawah Kementerian Kesihatan. Bengkel ini turut menampilkan panel hebat seperti Erma Fatima, Dr. Malar, Coach WFSufina dan Dr. Saiful Adli bagi berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing.

Bengkel ini bertujuan untuk bertukar pandangan dalam melahirkan idea serta pendekatan yang paling menarik dan kreatif bagi menghasilkan bahan-bahan promosi kempen. Enam (6) elemen yang diberi penekanan adalah aktiviti fizikal, ⁠pemakanan sihat dan selamat, ⁠saringan kesihatan, kesihatan mental, kesihatan ⁠persekitaran dan bahaya ⁠rokok dan vape yang menjadi asas utama dalam memupuk amalan pembudayaan hidup sihat.


anms 30 okt

anms 30 okt

Bahagian Pendidikan Kesihatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pn. Shareza binti Mardan, Jururawat Kesihatan (U32) dari Cawangan Mobilisasi Komuniti dan En. Iskandar Chin Abdullah, Juruaudio Visual [N22 (KUP)] dari Cawangan Media Kesihatan di atas pengurniaan Pingat Pangkuan Negara (PPN) sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada Bulan Disember 2023. Diharapkan agar tuan & puan akan terus berkhidmat dengan lebih komited dan dedikasi demi kecemerlangan peribadi dan organisasi. Juga adalah menjadi harapan dengan pengurniaan pingat ini akan menjadi pencetus semangat buat warga kerja Bahagian Pendidikan Kesihatan yang lain.


MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU AGENDA NASIONAL MALAYSIA SIHAT (ANMS) 2023
30 OKTOBER 2023

anms 30 okt

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dipengerusikan oleh YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan merupakan kali pertama diadakan pada tahun ini bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 3, Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran Bangunan Parlimen, WP Kuala Lumpur. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Pegawai Kanan dari Kementerian Kesihatan.


Konvensyen MyCHAMPION@KKM Peringkat Kebangsaan 2023
13 - 15 Oktober 2023, Subang Jaya

Konvensyen MyCHAMPION@KKM Peringkat Kebangsaan 2023 telah berlangsung dengan jayanya mulai 13 hingga 15 Oktober 2023 bertempat di Hotel Summit USJ, Subang Jaya. Majlis Perasmian pula telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan. Seramai 700 sukarelawan dan penyelaras MyCHAMPION kebangsaan dan negeri dari seluruh negara telah menghadiri konvensyen ini.  

Konvensyen MyCHAMPION ini merupakan konvensyen pertama yang dianjurkan bersama sukarelawan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menggabungkan pasukan Sukarelawan “Communication for Behavioural Impact” (COMBI), Sukarelawan Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN), Sukarelawan Duta Kenali Ubat Anda (DKUA),Sukarelawan Ikon Gigi (IGG), Sukarelawan Panel Penasihat Klinik Pergigian (PPKK) dan Sukarelawan Wakil Kesihatan Kampung (WKK). KKM kini mempunyai seramai 53,556 sukarelawan yang bernaung di bawah payung MyCHAMPION.

Terima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh para sukarelawan MyCHAMPION! Diharapkan agar para sukarelawan terus bersemangat untuk bergiat aktif melaksanakan aktiviti kesukarelawan demi kepentingan dan kebaikan masyarakat serta negara.


Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023
1 Oktober 2023

afiat madani 1

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah menyempurnakan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah Ipoh, Perak. Program yang meriah ini turut dihadiri oleh YAB Dato Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, YB Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan dan YB Tuan Sivakumar A/L Varatharaju Naidu, Menteri Sumber Manusia.

Program Madani Afiat dilaksanakan bertujuan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya penjagaan kesihatan di samping menggalakkan penyertaan masyarakat di dalam program-program kesihatan. Pendekatan ini bersesuaian dengan hala tuju transformasi KKM untuk beralih dari penjagaan penyakit kepada penjagaan kesihataan (atau sick care to health care).

Sempena program ini juga, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia berkesempatan melawat Wellness on Wheels (WoW), mendapatkan penerangan berkenaan dengan fungsi WoW serta mencuba sendiri aktiviti Basikal Jus yang bertujuan membudayakan hidup sihat.

“Kesihatan adalah asas kesejahteraan dan produktiviti sesebuah negara. Madani Afiat pula merupakan salah satu agenda penting yang dijalankan oleh KKM bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dan ianya jelas menyokong Tonggak Kedua Malaysia MADANI.” Petikan ucapan pelancaran majlis oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.


SESI TOWNHALL BERKAITAN PENGUKUHAN FUNGSI PENDIDIKAN DAN PROMOSI KESIHATAN BERSAMA PEGAWAI PENDIDIKAN KESIHATAN BAGI ZON MALAYSIA TIMUR
& MAJLIS SANJUNGAN BUDI EN. AB. RAZAK BIN MD NOH
DAN EN. EN. KAMARULISMAIL BIN UDIN
14-15 SEPTEMBER 2023

Sesi Townhall berkaitan Pengukuhan Fungsi Pendidikan dan Promosi Kesihatan Bersama Pegawai Pendidikan Kesihatan Bagi Zon Malaysia Timur telah selesai dilaksanakan di Bangunan Wisma Wanita, Kota Kinabalu, Sabah mulai 14 hingga 15 September 2023. Sesi townhall ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Dr. Norhayati binti Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) yang telah menyampaikan utusan beliau serta sebagai salah seorang panel dalam sesi dialog yang diadakan.

Antara objektif sesi townhall ini diadakan adalah untuk menjelaskan fungsi dan peranan pendidikan dan promosi kesihatan bersesuaian dalam menyokong Kertas Putih Kesihatan serta untuk memantapkan kompetensi Pegawai Pendidikan Kesihatan bagi memastikan fungsi dilaksanakan dengan lebih berkesan.  

Turut diadakan pada sesi townhall ini adalah Majlis Sanjungan Budi bagi dua orang Pegawai Pendidikan Kesihatan yang telah bersara iaitu En. KamarulIsmail bin Udin dan En. Ab Razak bin Md. Noh. Bahagian Pendidikan Kesihatan ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan dan bakti yang dicurahkan selama berkhidmat. Selamat Bersara dan Selamat Maju Jaya!


MAJLIS PELANCARAN BULAN MALAYSIA SIHAT SEJAHTERA DAN PELEPASAN KEMBARA SEKOLAH 2023
8 SEPTEMBER 2023

Majlis Pelancaran Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Dan Pelepasan Kembara Sekolah 2023 telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Bulatan Sihat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kompleks E, Putrajaya. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan bersama Yang Berhormat Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pendidikan.

Bulan Malaysia Sihat Sejahtera disambut di seluruh negara dengan membawa mesej pembudayaan hidup sihat dalam merealisasikan hasrat Kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera.

Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan antaranya Hip Hop Cardio, pengisian ilmu-ilmu kesihatan dan kesejahteraan semasa pocket talk serta pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan di Zon Ceria, Zon Aktif, Zon Relaks, Zon Sihat dan Wellness on Wheels.

Sambutan majlis ini telah dihadiri oleh 1,500 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.


WELLNESS INFLUENCER NETWORK MASTERCLASS
26 Ogos 2023

Wellness Influencer Network Masterclass telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Simply Glam Hall, Third Avenue, Cyberjaya. Majlis telah diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato' Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Kementerian Kesihatan Malaysia. Acara dimeriahkan lagi dengan sesi perkongsian oleh pengacara TV, content creator dan Youtuber terkenal, Hazeman Huzir. Masterclass ini telah dihadiri oleh 49 orang pempengaruh dari pelbagai platform media sosial.


Mesyuarat Pemantapan Kualiti Isi Kandungan Portal MyHEALTH 2023

Mesyuarat Pemantapan Kualiti Isi Kandungan Portal MyHEALTH 2023 telah dilaksanakan di Hotel Lexis Port Dickson, Negeri Sembilan pada 26 - 28 Julai 2023. Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk menyemak dan mengemas kini semula artikel sedia ada di dalam Portal MyHEALTH. Ianya penting supaya maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat, sahih dan terkini. Mesyuarat telah dihadiri seramai 66 orang pegawai bertauliah yang merangkumi pelbagai kepakaran dan profesion dari Kementerian Kesihatan Malaysia.


 WELLNESS ON WHEEL @ SANTAI KOMUNITI MPPSZ3
16 JULAI 2023

Wellness on Wheel (WoW), Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah ke lapangan dengan menyertai program Santai Komuniti MPPSZ3 di Laman Ixora P8E, Presint 8, Putrajaya pada 16 Julai 2023. Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Teras 4, Pelan Strategik Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) iaitu Kebersihan Persekitaran.

Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan antaranya gotong-royong, aktiviti interaktif WoW seperti Cari dan Musnah, saringan kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak, jualan rahmah makanan dan sayuran dan bengkel pembuatan sabun basuh minyak masak terpakai.


MESYUARAT PERLUASAN SKOP AKTIVITI MyCHAMPION UNTUK PENYELARAS MyCHAMPION
PERINGKAT NEGERI DAN BAHAGIAN SARAWAK
11-13 JULAI 2023

Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, telah melaksanakan mesyuarat ini selama tiga hari bagi membincangkan pelbagai isu termasuk tadbir urus program MyCHAMPION di Sarawak, peranan dan tanggungjawab sukarelawan MyCHAMPION, perbelanjaan dan peruntukan serta insentif sukarelawan MyCHAMPION.

Seramai 55 orang penyelaras negeri dan bahagian Sarawak telah hadir ke mesyuarat yang diadakan di Meritz Hotel, Miri, Sarawak.

Inisiatif MyCHAMPION merupakan salah satu inisiatif di bawah Teras 3, Pelan Strategik Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) iaitu Kawalan Kesihatan Kendiri.


MAJLIS PELANCARAN MADANI AFIAT GOTONG-ROYONG MEGA PERANGI AEDES 1.0 & ONE HOUR MALAYSIA CLEAN UP PERINGKAT KEBANGSAAN 2023
9 JULAI 2023

YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan bersama YAB Dato' Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Madani Afiat Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 dan One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023 pada 9 Julai 2023 bertempat di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak, Selangor.

Program Madani Afiat merupakan antara usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakyatkan perkhidmatan KKM kepada rakyat. Objektif Madani Afiat antaranya mendekati dan menyantuni masyarakat secara langsung bersama pemimpin dengan mempromosikan budaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan penyakit serta meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan masyarakat dalam mencegah peningkatan penyakit tidak berjangkit / Non-Communicable Diseases (NCD).

Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 pula merupakan inisiatif KKM yang diadakan dua (2) kali setahun bersama pelbagai agensi dan komuniti dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Program ini dilaksanakan di semua negeri dengan memberi tumpuan kepada lokaliti wabak denggi atau kawasan berisiko tinggi pembiakan nyamuk Aedes.

Sementara itu, Inisiatif One Hour Malaysia Clean Up merupakan tindakan bersepadu dalam menggerakkan masyarakat untuk mengadakan aktiviti kebersihan persekitaran secara berkala pada setiap HARI SABTU MINGGU KEEMPAT SETIAP BULAN. Inisiatif ini bertujuan mengurangkan beban penyakit yang berkaitan dengan kebersihan persekitaran dalam kalangan masyarakat melalui jalinan kerjasama antara sektor kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan memfokuskan kepada aktiviti gotong-royong, kitar semula, pendidikan kesihatan berkaitan kebersihan persekitaran yang dilaksanakan di kawasan komuniti dengan penglibatan semua penduduk atau komuniti mengikut setting terutamanya di kawasan perumahan, tempat kerja dan institusi pendidikan. Aktiviti seumpama ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Teras 4, Pelan Strategik Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) iaitu Memantapkan Kebersihan Persekitaran.



Teluk Panglima Garang, 27 Mei 2023 : Kursus Smart Organization Bahagian Pendidikan Kesihatan telah diadakan di ruang legar Rumah Tradisional Dila, Teluk Panglima Garang, Selangor. Program yang dianjurkan oleh Cawangan Dasar dan Perancangan Strategik ini bertujuan untuk meningkatkan hubungan komunikasi antara kakitangan dan kualiti penyampaian bahagian. Program ini telah disertai seramai 65 orang anggota Bahagian Pendidikan Kesihatan dan diketuai Pengarah iaitu Pn. Suraiya Syed Mohamed. Antara aktivitinya adalah sesi ice breaking dan latihan dalam kumpulan.


Tahniah diucapkan kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 

Senarai Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 adalah seperti berikut:-

  1. Dr. Vanitha a/p Subramaniam
  2. En. Razmin bin Ramli
  3. Pn. GUnasundari a/p Marimuthu
  4. En. Muhammad Muzammil bin Ishak
  5. Pn. Noreena Anak Kimi
  6. En. Ahmad Khairul Shaleh bin Mohd Diah
  7. En. Zikril Hakim bin Johari

 

 

Cetak Emel

Bahagian Pendidikan Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia, Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62590 Putrajaya, Malaysia.


Tel : +603 88834500 Faks : +603-88886262 Emel : infosihat@moh.gov.my

media facebook media instagram media twitter rss media youtube rss