Page 17 - Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan
P. 17

Sebelum Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (2019) dan Tinjauan Literasi
                                                Kesihatan Malaysia (2023), pengukuran literasi kesihatan di Malaysia hanya memberi
                                                tumpuan kepada literasi kesihatan kefungsian (functional health literacy) yang
                                                merangkumi kemahiran asas seperti membaca, menulis, dan membuat pengiraan
                                                mudah ke atas maklumat kesihatan. Namun begitu, literasi kesihatan kefungsian
                                                masih mempunyai kelemahan dalam mengukur kemahiran individu untuk berfikir
                                                secara kritis dalam membuat keputusan kesihatan dengan lebih baik.


                                                Hasil tinjauan berkenaan menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia mempunyai
                                                tahap literasi kesihatan yang mencukupi, namun menghampiri tahap skor yang
                                                minimum. Analisis terperinci menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk
                                                meningkatkan kemampuan individu dalam menilai maklumat dan membuat
                                                keputusan berkaitan kesihatan. Keupayaan untuk menilai dengan kritis adalah sangat
                                                penting dalam era ini di mana maklumat kesihatan boleh diakses dengan mudah.
                                                Akses kepada capaian internet yang meluas membuka peluang kepada penyebaran
                                                maklumat yang berkualiti tinggi berkaitan kesihatan dalam penjagaan  kesihatan dan
                                                pencegahan penyakit. Namun begitu, apa yang lebih mencabar adalah isu berkaitan
                                                penyebaran maklumat yang salah dan mengelirukan serta maklumat palsu yang
                                                boleh mempengaruhi pembuatan keputusan dan tingkah laku kesihatan individu.
                                                Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (2019) dan Tinjauan Literasi
                                                Kesihatan Malaysia (2023) juga menunjukkan keperluan anjakan dalam pemikiran dan
                                                pendekatan bagi meningkatkan kemahiran kritikal individu dalam menilai maklumat
                                                kesihatan kerana ini akan membantu meningkatkan tahap literasi kesihatan seluruh
                                                negara.


                                                Justeru, Rancangan Malaysia Ke-12 telah memberi keutamaan kepada aspek
                                                pengukuhan literasi kesihatan rakyat. Strategi untuk membangunkan DLKK telah
                                                dipersetujui sebagai salah satu strategi untuk meningkatkan pengetahuan dan
                                                pemahaman masyarakat tentang asas kesihatan dan perkhidmatan diperlukan untuk
                                                kesejahteraan. Sejajar dengan itu, sistem pemantauan literasi kesihatan dibangunkan
                                                untuk menyokong pelaksanaan dasar ini. Inisiatif ini selari dengan matlamat Agenda
                                                Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan untuk mempromosi pembudayaan
                                                hidup sihat dengan memfokuskan peningkatan tahap literasi kesihatan melalui tadbir
                                                urus yang lebih baik.














                                                                                                                         DASAR LITERASI KESIHATAN KEBANGSAAN  7
   12   13   14   15   16   17   18   19   20   21   22