Page 3 - Garis Panduan Perkhidmatan Konsultasi Secara Maya-2022
P. 3
Kata-Kata Aluan Pengarah
Kementerian Kesihatan Malaysia kini menempa sejarah kerana
berjaya melaksanakan inisiatif Perkhidmatan Konsultasi Secara
Maya (Virtual Consultation Services) di klinik kesihatan buat
julung kalinya. Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga
berasa amat bertuah kerana telah diberi tanggungjawab oleh
Y.B. Menteri Kesihatan, untuk melaksanakan perkhidmatan ini
secara Proof of Concept (PoC) pada 11 Mac 2019. Objektif
pelaksanaan PoC ini adalah memastikan kebolehterimaan
pelanggan dan kebolehlaksanaan pihak anggota kesihatan
terhadap perkhidmatan baru ini.
Di peringkat awal, perkhidmatan ini dimulakan di 5 klinik kesihatan yang terpilih bagi
tempoh satu tahun, iaitu dari 14 Ogos 2019 hingga 13 Ogos 2020. Skop Perkhidmatan
Konsultasi Secara Maya khusus untuk saringan kesihatan, rawatan susulan bagi
penyakit kronik seperti Hipertensi atau Diabetes yang stabil.
Perkhidmatan ini telah diperkembangkan kepada 35 klinik kesihatan dalam era
pandemik COVID-19. Langkah ini adalah amat bertepatan pada waktu itu, bagi
mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan, serta untuk melindungi pelanggan dan
anggota kesihatan. Perkhidmatan Konsultasi Secara Maya turut diterima baik oleh
semua pihak, selain sejajar dengan amalan norma baharu dan usaha pendigitalan
kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan buat semua pihak yang
telah terlibat terutama kepada pihak MAMPU atas perkongsian kepakaran dalam
penyediaan tatacara penggunaan Google Meet MyGovUC 2.0.
Syabas dan tahniah juga kepada warga kerja yang telah menyediakan garis
panduan ini secara terperinci bagi rujukan dan kegunaan semua anggota kesihatan
di seluruh negara. Harapan saya, agar Perkhidmatan Konsultasi Secara Maya akan
lebih mantap melalui piawaian dan panduan yang telah ditetapkan.
Semoga dengan cara ini, matlamat kita untuk memastikan capaian sejagat
kepada penjagaan kesihatan primer berjaya direalisasikan. Insha Allah.
Dato' Dr. Mohamed Sapian Bin Mohamed
Pengarah
Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga
Kementerian Kesihatan Malaysia
GARIS PANDUAN PERKHIDMATAN KONSULTASI SECARA MAYA DI KLINIK KESIHATAN iii