Page 53 - Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan
P. 53
RASIONAL
Transformasi komunikasi dalam literasi kesihatan memberi tumpuan kepada komunikasi
untuk perubahan sosial dan tingkah laku dan merangkumi usaha menangani stigma sosial,
menggalakkan penglibatan awam, memupuk kemahiran literasi kesihatan, mengukuhkan
saluran komunikasi yang berkesan, memupuk kolaborasi dan kerjasama, dan melaksanakan
strategi komunikasi berasaskan bukti. Transformasi komunikasi yang berkesan boleh
memperkasakan individu, mengurangkan halangan kepada maklumat kesihatan, dan
menggalakkan penglibatan aktif dalam intervensi kesihatan.
Pelaksanaan komunikasi perubahan sosial dan tingkah laku dalam promosi kesihatan
dapat menangani salah tanggapan, kekurangan maklumat, persepsi risiko dan kekurangan
kepercayaan terhadap tingkah laku kesihatan, perkhidmatan kesihatan atau produk dalam
kalangan orang awam, penyedia perkhidmatan kesihatan dan penggubal polisi.
HASIL YANG DIINGINI
Kejayaan dalam transformasi komunikasi kesihatan dari konteks literasi kesihatan melibatkan
pembangunan dan pelaksanaan pelan komunikasi strategik, meningkatkan penglibatan dan
interaksi serta berkolaborasi dengan pihak berkepentingan utama untuk mencipta solusi bersama.
Kolaborasi bersama penting dalam menetapkan objektif komunikasi yang jelas, menentukan
kumpulan sasaran dan saluran komunikasi yang sesuai, serta mengukur hasil komunikasi dalam setiap
perlaksanaan aktiviti yang menyokong literasi kesihatan. Dengan pencapaian ini, usaha komunikasi
dapat secara efektif memberi maklumat, mendidik, dan memperkasakan individu untuk membuat
keputusan yang berinformasi tentang kesihatan dan kesejahteraan mereka.
DASAR LITERASI KESIHATAN KEBANGSAAN 43