Page 39 - Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan
P. 39
RASIONAL
Tahap literasi kesihatan dalam kalangan warga emas, berpendidikan rendah dan komuniti di
kawasan pedalaman adalah rendah [Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (2019) dan
Tinjauan Literasi Kesihatan Malaysia (2023)]. Menangani jurang kelemahan dalam mengakses,
memahami, menilai, dan mengaplikasikan maklumat kesihatan bagi warga emas dan kumpulan
rentan memerlukan pendekatan yang tailored-based dan berfokus. Warga emas dan kumpulan
rentan sering menghadapi cabaran tambahan seperti kecacatan fizikal, sosial, atau kewangan
yang boleh menghalang akses mereka kepada maklumat kesihatan yang berkualiti. Oleh itu,
penting untuk menyediakan sumber maklumat kesihatan yang mudah diakses, seperti panduan
kesihatan dalam format yang sesuai dengan keperluan mereka, termasuk bahan cetak,
audio, atau platform digital yang mesra pengguna. Selain itu, program-program pendidikan
kesihatan yang disesuaikan dengan keperluan mereka perlu diperkenalkan untuk meningkatkan
pemahaman mereka terhadap isu-isu kesihatan yang relevan.
HASIL YANG DIINGINI
Peningkatan tahap literasi kesihatan dalam kalangan warga emas dan kumpulan rentan di Malaysia
menerusi advokasi yang berterusan seperti melibatkan mereka secara aktif dalam aktiviti promosi
kesihatan. Program sukarelawan diperkukuh untuk membantu menyampaikan maklumat kesihatan
secara langsung kepada komuniti. Dengan cara ini, mereka akan berasa lebih terlibat dan memiliki
tanggungjawab terhadap kesihatan mereka sendiri.
Program pendidikan kesihatan berfokus disesuaikan dengan keperluan warga emas dan kumpulan
rentan dilaksanakan secara berterusan menerusi pelbagai platform yang bersesuaian. Menerusi
pendekatan advokasi, pemerkasaan komuniti dan pendidikan kesihatan di pusat jagaan warga emas
dan komuniti rentan meningkatkan pengetahuan dan sokongan yang diperlukan untuk mereka
membuat keputusan kesihatan yang lebih baik dan menjalani hidup yang lebih sihat.
DASAR LITERASI KESIHATAN KEBANGSAAN 29